Tular kejadian seorang individu maut akibat ditanduk lembu dalam program ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram, Johor Bahru

SEGAMAT – Polis menafikan berlaku seorang individu maut akibat ditanduk lembu dalam program ibadah korban di Felda Tenang seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumazan Zahir Chek Ismail berkata, hasil semakan dan pemantauan yang dijalankan mendapati maklumat tersebut adalah tidak benar.

“Semakan telah dibuat berkaitan ibadah korban yang dijalankan dan mendapati hanya satu aktiviti sembelihan korban dijalankan hari ini melibatkan tiga ekor kambing di bengkel kereta No. 91, Jalan Kolam Air, Peringkat Satu, Felda Tenang namun tiada sebarang kejadian yang berlaku seperti yang ditularkan tersebut.

“Semakan lanjut telah dijalankan dan mendapati terdapat satu video yang tular dalam sosial media melibatkan seorang individu lelaki Melayu ditanduk seekor lembu.

“Kejadian tersebut berlaku sewaktu menjalankan ibadah korban dan dipercayai berlaku di Kampung Tenang, Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, maklumat dalam hantaran tersebut memaklumkan, mangsa lelaki berkenaan sudah meninggal dunia akibat dari ditanduk lembu.

Jelasnya, isu itu timbul disebabkan seorang pemilik akaun sosial media Facebook membuat hantaran dalam Group Orang Kota-Tinggi dengan menyatakan bahawa kejadian berlaku di Felda Tenang.

“Namun pemilik akaun tersebut telah membuat pembetulan dalam hantaran tersebut dan menyatakan berlaku di Kampung Tenang.

“Kesimpulan dari semakan yang telah dibuat dapati tiada sebarang kejadian yang menyatakan terdapat individu yang meninggal dunia akibat diserang atau ditanduk lembu di kawasan Felda Tenang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih serta sentiasa membuat semakan kesahihan sebelum berkongsi sesuatu berita dalam platform media sosial.

Terdahulu tular video memaparkan seekor lembu sebelum disembelih mengamuk dan menanduk seorang lelaki dalam satu program korban. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast