KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu mengagihkan lebih 600 pek daging kepada penduduk sekitar Parlimen Batu sempena program ibadah korban sempena Aidiladha, tahun ini.
Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar berkata, penganjuran program tahunan itu menyaksikan peningkatan enam ekor haiwan korban itu berbanding empat sahaja pads tahun lalu.
“Enam ekor lembu yang dikorbankan itu berjaya menghasilkan lebih 600 paket daging korban untuk diagihkan khusus kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Batu.
“Tahun lepas kita hanya melaksanakan korban empat ekor lembu, namun Alhamdulillah tahun ini rezeki bertambah dan kita berjaya melaksanakan korban enam ekor lembu.
“Hasilnya kita dapat menyediakan lebih 600 paket daging korban untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di pejabat UMNO Bahagian Batu, di sini, hari ini.

Menurut Gulam, kaedah pengagihan tahun ini dilakukan secara lebih terbuka dan sistematik menerusi pendaftaran menggunakan kod QR, berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang dilakukan melalui cawangan-cawangan UMNO.
“Kali ini kita buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu yang ingin mendapatkan daging korban melalui pendaftaran kod QR dan Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada kira-kira 200 urusetia terdiri daripada ahli cawangan, Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Batu yang berganding bahu menjayakan program itu.
“Selain pengagihan daging korban, kami turut menyediakan jamuan makan malam khas sebagai penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus sepanjang program berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada penduduk setempat apabila orang ramai mula beratur seawal jam 4 petang walaupun pengagihan dijadualkan bermula pada jam 5 petang.
“Saya jangkakan pengagihan bermula jam 5 petang, namun sekitar jam 4 lebih orang ramai sudah mula beratur panjang untuk mendapatkan daging korban.
“Setakat ini hanya tinggal sekitar 100 hingga 150 paket sahaja daripada lebih 600 paket yang telah berjaya diagihkan,” katanya.
Beliau berkata, konsep pengagihan kali ini menggunakan kaedah ‘first come, first serve’ bagi memastikan proses berjalan lancar dan adil kepada semua penerima.
Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kepada penduduk yang tidak sempat menerima agihan daging korban kali ini dan berharap usaha tersebut dapat dipertingkatkan pada tahun hadapan.
“Insya-Allah tahun depan kita akan menambah lagi jumlah sumbangan daging korban supaya lebih ramai penduduk dalam Parlimen Batu dapat menerima manfaat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















