Hakim Hafizudin

MELAKA – Golongan muda perlu membawa budaya politik matang dengan menolak politik fitnah, maki-hamun serta sentimen yang memecah-belahkan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakim Hafizudin berkata, anak muda kini bukan lagi sekadar pemerhati kepada pembangunan negara sebaliknya memainkan peranan penting sebagai penentu masa depan negeri dan negara.

Menurutnya, generasi muda hari ini perlu berani membuat keputusan yang mampu mencorakkan hala tuju negara untuk tempoh jangka panjang.

“Kita selalu dengar orang cakap anak muda adalah pemimpin masa hadapan, tetapi bagi saya anak muda adalah pemimpin hari ini.

“Keputusan yang kita buat hari ini akan corakkan rupa bumi bertuah ini untuk lima, 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, anak muda kini semakin bijak dan celik maklumat dalam menilai kepimpinan serta pentadbiran sesebuah kerajaan dan tidak lagi hanya mahu mendengar janji politik semata-mata.

“Sebaliknya, kita mahu melihat rekod kerja, integriti serta pelan konkrit dalam menyelesaikan isu rakyat.

“Kita nak sebuah kepimpinan yang bukan sahaja mendengar rungutan di media sosial, tetapi ada pelan konkrit untuk selesaikan isu ekonomi, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh,” tegasnya.

Hakim berkata, usaha reformasi institusi dan agenda membanteras rasuah tanpa kompromi perlu diteruskan demi menjamin kestabilan negara.

“Gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan kerajaan ketika ini mampu menjadi asas kepada pembangunan negara yang lebih mampan, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“Melalui gagasan Malaysia MADANI ini, fokus kita jelas iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi negara dipandu oleh nilai kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat khususnya generasi muda supaya tidak mensia-siakan kuasa undi yang dimiliki.

“Undi kita bukan sekadar sekeping kertas yang dipangkah dalam kotak undi. Ia adalah mandat, doa dan amanah untuk masa depan kita, mak ayah kita serta generasi akan datang.

“Jangan kita gadaikan masa depan ini kepada pihak yang hanya tahu menabur janji manis kosong tanpa pelan hala tuju yang jelas untuk membangunkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast