KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengeluarkan dua kompaun dan notis terhadap sebuah hotel di Kedah susulan video tular memaparkan ketidakpuasan hati seorang pelanggan berhubung tahap kebersihan bilik yang ditempahnya.
MBAS dalam kenyataan memaklumkan, tindakan bersepadu itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan, serta Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan negeri.
“Dua kompaun dan satu notis dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan semalam terhadap beberapa bilik hotel termasuk bilik yang diadu oleh pelanggan tersebut.
“Pemeriksaan secara keseluruhannya mendapati, tahap kebersihan tidak memuaskan dan memerlukan tindakan penambahbaikan segera,” demikian menurut kenyataan dalam laman Facebook.
Semalam, tular dalam laman sosial berhubung rungutan seorang lelaki terhadap tahap kebersihan tiga bilik hotel yang ditempahnya untuk bercuti bersama keluarga di Alor Setar.
Lelaki tersebut tiba di bandaraya itu dari Negeri Sembilan, namun hampa kerana keadaan bilik terutamanya bilik air yang kotor dan tidak diselengara dengan baik.
Kata kenyataan, kompaun dikeluarkan ke atas pihak hotel atas kesalahan gagal menyelenggara premis dengan baik sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Hotel (MBAS) 2010 berhubung kebersihan premis.
Ujarnya, satu lagi kompaun turut dikenakan di bawah Undang-Undang Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983 atas kegagalan menjaga kebersihan bahagian dapur selepas pemeriksaan mendapati perangkap minyak telah rosak sehingga menyebabkan kekotoran sisa makanan.
Selain daripada tindakan kompaun, satu notis di bawah UUK Hotel (MBAS) 2010 turut dikeluarkan dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada pihak hotel bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan.
Kenyataan selanjutnya menyatakan, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan hotel berkenaan telah mengakui kelemahan yang berlaku, menerima teguran yang diberikan, serta menyatakan komitmen untuk melaksanakan tindakan pembersihan dan penambahbaikan dengan kadar segera.
Bagi memastikan pematuhan terhadap kehendak undang-undang dan standard kebersihan premis penginapan dipatuhi sepenuhnya, satu pemeriksaan susulan akan dilaksanakan oleh MBAS bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selepas ini.
“Langkah tegas ini diambil bagi menyatakan pihak MBAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara,” ujar kenyataan. – MalaysiaGazette
















