GEORGE TOWN – Kebimbangan seorang wanita yang gagal menghubungi suaminya hampir seminggu berakhir dengan tragedi apabila mayat lelaki itu ditemukan di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Ayer Itam di sini ditemukan di bahagian tempat duduk pemandu sebuah kenderaan jenis Perodua Alza selepas orang awam menghidu bau busuk dari arah kenderaan berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan namun terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk membuka kenderaan yang berkunci dari dalam.
Difahamkan, petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mayatnya.
Isteri mangsa yang enggan mendedahkan identitinya berkata, suaminya yang menghidap diabetes itu pergi ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu atas urusan kerja dan dijadualkan pulang pada Sabtu.
“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang dia (suami) memaklumkan perlu ke pejabatnya di Bayan Baru sebelum gagal dihubungi kira-kira pukul 11 malam.

“Selepas itu saya cuba menghubunginya sebelum membuat laporan polis untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaannya.
Hari ini kira-kira 1 tengah hari saya dikejutkan dengan berita penemuan mayat suami di sini,” katanya kepada pemberita di lokasi penemuan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – MalaysiaGazette















