MELAKA – Misteri bau busuk dari sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga di sini membongkar penemuan mayat dipercayai mangsa bunuh yang ditemukan dalam keadaan mereput dan dibungkus dengan lipatan tilam malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 7 malam selepas pemilik premis datang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.
Menurutnya, pemilik rumah kedai terbabit dikatakan gagal menghubungi penyewa sebelum membuat pemeriksaan dan terhidu bau busuk sebaik memasuki premis itu.

“Pemeriksaan kemudian menemukan satu mayat dalam keadaan telah hancur dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan.
“Mayat itu ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam selain kedua-dua tangan dipercayai diikat dan kita percaya memang terdapat unsur pembunuhan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Melaka Tengah di Balai Polis Malim di sini hari ini.
Pada majlis itu, Dzulkhairi menyaksikan majlis serah tugas antara mantan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner Christopher Patit (kiri) kepada Superintendan Halim Abas yang memangku jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, identiti serta jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah hancur.

Dzulkhairi (tengah) menyaksikan majlis serah tugas antara mantan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner Christopher Patit (kiri) kepada Superintendan Halim Abas yang memangku jawatan berkenaan pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Melaka Tengah di Balai Polis Malim, Melaka hari ini.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau. Rumah tersebut disewakan pemilik kepada seorang wanita untuk dijadikan tempat tinggal anak lelakinya jadi kita percaya mangsa juga mempunyai kaitan dengan anak penyewa terbabit
Menurut beliau, ketika ditahan suspek berada dalam keadaan khayal dadah dan masih belum dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk dapatan siasatan awal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















