Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengakui parti itu sedang berdepan keadaan yang ‘cedera dan parah’ namun menegaskan Keadilan atau PKR masih mempunyai ruang untuk bangkit sekiranya langkah pemulihan dilakukan segera.

Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan berkata, catatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang mengibaratkan keadaan semasa parti sebagai membimbangkan tidak boleh dipandang ringan oleh pimpinan dan anggota.

Menurutnya, generasi muda yang membesar bersama perjuangan Reformasi menerima teguran itu sebagai satu peringatan bahawa Keadilan perlu kembali memperkukuhkan peranannya sebagai wadah perjuangan rakyat.

“Kami bersetuju dan mengakui Keadilan kini cedera dan parah. Namun, ini bukanlah titik noktah, sebaliknya isyarat jelas bahawa jasad parti masih bernyawa dan menuntut rawatan segera agar tidak lumpuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menyahut seruan veteran Reformasi, AMK bersedia membantu saf kepimpinan parti dengan menggerakkan lebih ramai golongan profesional muda termasuk peguam, teknokrat, aktivis dan ilmuwan.

Katanya, gerakan itu akan diperkasakan menerusi platform media sosial bagi mendepani pelbagai naratif semasa selain memperluaskan khidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Fokus kami adalah memulihkan roh dan imej parti menjelang PRU-16, selain membugarkan semangat anggota supaya Keadilan kembali menjadi jurucakap suara rakyat,” ujarnya.

Adib turut menyatakan keyakinankepimpinan AMK di bawah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim mampu menerajui usaha pemulihan parti.

Beliau berkata, golongan muda Keadilan juga akan terus mempertahankan kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan parti terus relevan dan diyakini rakyat.

Sebelum ini, Hassan menerusi catatan bertajuk ‘Deja Vu’ meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini dalam Keadilan selepas pemilihan parti baru-baru ini.

Veteran parti itu menyifatkan parti berkenaan sedang melalui fasa sukar dan mengingatkan kepimpinan supaya tidak mengabaikan nilai asal perjuangan yang menjadi asas penubuhan Keadilan lebih dua dekad lalu.

Catatan tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan ahli dan penyokong parti kerana dilihat mencerminkan kegusaran sebahagian anggota terhadap hala tuju Keadilan menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast