Poster yang dimuat naik di laman sosialnya, Primas bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa krisis kekurangan pekerja menyebabkan banyak restoran berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) mendakwa lebih 600 restoran India dan India Muslim di seluruh negara kini berada di ambang penutupan kekal berikutan masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosialnya, Primas bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa krisis kekurangan pekerja menyebabkan banyak restoran berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi.

Menurut persatuan itu, keadaan tersebut memerlukan perhatian serius kerajaan kerana ia bukan sahaja menjejaskan pengusaha restoran, malah turut memberi kesan kepada sektor ekonomi yang berkaitan.

Pihak itu mendakwa sekiranya restoran-restoran berkenaan terpaksa ditutup, kira-kira 5,000 rakyat tempatan yang terlibat secara tidak langsung dalam industri itu berisiko kehilangan sumber pendapatan.

Golongan yang terkesan termasuk pemandu, pembekal, juruwang serta kakitangan pentadbiran yang bergantung kepada operasi restoran-restoran terbabit.

Dalam hantaran sama, persatuan itu turut merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang didakwa semakin membebankan pengusaha restoran.

Selain itu katanya, restoran India dan India Muslim memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan pada harga berpatutan kepada masyarakat serta menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat.

Persatuan itu turut menegaskan bahawa penutupan premis-premis berkenaan akan memberi kesan lebih luas kepada rantaian perniagaan dan ekonomi negara.

MalaysiaGazette juga difahamkan poster berkenaan sudah viral dalam tempoh 24 jam sahaja yang menggesa orang ramai membantu menyebarkan mesej kepada pihak berkuasa bagi memastikan isu tersebut mendapat perhatian segera sebelum lebih banyak restoran terpaksa menghentikan operasi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast