Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sembilan lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan di sebuah premis kedai snuker di Pasar Debak yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.56 pagi, semalam.

Menurut beliau, video dan gambar berkaitan kejadian yang tersebar di Facebook turut membantu polis dalam usaha mengenal pasti individu terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil tindakan susulan yang dijalankan antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang semalam, polis berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun di beberapa lokasi sekitar Pusa dan Debak.

Menurut beliau, semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 2 Jun depan bagi membantu siasatan.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin manakala selebihnya negatif,” katanya.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertelingkahan kecil antara dua individu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan saling mengenali antara satu sama lain sebelum beberapa rakan mereka turut bertindak agresif sehingga mencetuskan pergaduhan.

Wan Mohamad Ali berkata, orang awam yang berada di lokasi kejadian hanya cuba meleraikan pergaduhan dan tidak terlibat dalam insiden tersebut.

“Tiada kecederaan serius dilaporkan dan siasatan mendapati kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan unsur gangsterisme,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast