Abbas Azmi

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menuntut bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, menarik balik tuduhan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan melampau terhadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim, selain memohon maaf secara terbuka.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi menegaskan, parti itu tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya kenyataan berkenaan tidak ditarik balik.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat Ronnie Liu kerana bukan sahaja menyasarkan Izham, malah, dilihat menyentuh isu yang berkait rapat dengan titah Sultan Selangor berhubung aktiviti penternakan babi di negeri itu.

“Ronnie sepatutnya memahami bahawa isu berkenaan (penternakan babi) telah mendapat perhatian Sultan Selangor sehingga baginda menitahkan supaya segala aktiviti berkaitan penternakan babi di negeri itu dihentikan.

“Antara faktor yang mendorong campur tangan baginda ialah kebimbangan terhadap pencemaran yang memberi kesan kepada kepentingan awam serta penularan wabak African Swine Fever (ASF) yang semakin berleluasa.

“Titah Tuanku berhubung isu ini amat bertepatan dengan keadaan dan cabaran semasa yang sedang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abbas turut menyifatkan tindakan Ronnie mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai tidak beretika kerana seolah-olah tidak memahami prinsip Rukun Negara serta sistem pentadbiran negara dan negeri yang diamalkan di Selangor.

Beliau berkata, Ronnie pernah menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ketika masih memegang jawatan kepimpinan dalam DAP, justeru sewajarnya memahami proses pentadbiran serta tanggungjawab kerajaan negeri dalam menangani isu berkaitan kepentingan rakyat.

“Namun setelah tidak lagi menjadi pimpinan dan ahli DAP, nada beliau kini berubah seolah-olah tidak pernah terlibat dengan kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya.

Tambah Abbas, rakyat pada masa ini lebih cenderung menilai keupayaan dan kewibawaan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab berbanding retorik politik yang hanya bertujuan meraih keuntungan politik peribadi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ronnie supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak menyinggung mana-mana pihak, khususnya apabila melibatkan titah Sultan Selangor.

“Amanah Selangor meminta Ronnie Liu menarik balik tuduhan yang dibuat dan memohon maaf atas kenyataan yang dilihat melampau ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast