JOHOR BAHRU – Penduduk yang melaksanakan ibadah korban terutama secara persendirian dinasihatkan supaya melaporkan kepada ketua kampung bagi memastikan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Kampung Ulu Tiram, Shazrul Idham Abd Aziz berkata, sebarang maklumat yang diterima bagi tujuan ibadah korban akan dilaporkan kepada Penggerak Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing.
“Ini bagi tujuan permohonan permit dan langkah berkenaan bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban dapat dilakukan mengikut garis panduan serta mengurangkan sebarang risiko yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Kampung Tenang di sini hari ini.
Mengenai kejadian seorang lelaki maut ditanduk kerbau ketika membantu ibadah korban di kampung berkenaan pada Rabu lalu, beliau berkata, aktiviti korban itu adalah di luar pengetahuannya.
Beliau berkata, kejadian sama turut berlaku kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian yang membabitkan seorang lelaki patah tiga tulang rusuk di Batu 19 Kampung Sungai Tiram, namun kawasan berkenaan bukan di bawah seliaannya.
Shazrul Idham berkata, terdapat tiga kampung di bawah kawasan seliaannya di Ulu Tiram iaitu Kampung Banjar, Kampung Tenang dan Kampung Tiram.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang berusia berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia pada pukul 11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri.
Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan seorang lelaki ditanduk seekor kerbau ketika proses korban dijalankan di kawasan berkenaan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















