KUALA LUMPUR – Komitmen berterusan kerajaan memperkukuh agenda pembangunan masyarakat India menerusi pengumuman enam inisiatif baharu di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bernilai RM65.5 juta disambut baik.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap Presiden Malaysian Indian Youth Council (MIYC), Dhanesh Basil menzahirkan sokongan penuh terhadap komitmen berkenaan.

Beliau berkata, pengumuman tersebut bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan agenda keterangkuman sosial dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan berimpak tinggi.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik fokus yang diberikan kepada sektor pendidikan menerusi Program Subsidi Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak India (CELIK MADANI) serta Program Tuisyen MADANI (KALVI MADANI) yang disasarkan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Katanya, pelaburan dalam pendidikan sejak peringkat awal merupakan pendekatan tepat untuk memastikan generasi muda masyarakat India mendapat akses lebih baik kepada peluang pendidikan berkualiti.

“Kami percaya bahawa usaha memperkasakan masyarakat perlu bermula dengan memperkukuh akses pendidikan yang berkualiti. Inisiatif seperti CELIK MADANI dan KALVI MADANI bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga B40, malah mampu melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pendidikan merupakan instrumen paling berkesan dalam memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi selain membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas kepada golongan belia.

Dalam pada itu, Dhanesh turut mengalu-alukan pelaksanaan Program Bantuan Geran Startup Accelerator (UYARVU MADANI) yang menyediakan bantuan sehingga RM50,000 kepada usahawan India dalam kategori B40 dan M40.

Inisiatif tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan belia, khususnya dalam sektor ekonomi baharu seperti teknologi digital, e-dagang dan industri kreatif yang semakin berkembang.

Beliau berharap MITRA akan terus memperluaskan inisiatif berkaitan pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran belia bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Dhanesh turut berpandangan MIYC, yang mempunyai 123 cawangan di seluruh negara, wajar diberikan peluang untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan inisiatif di bawah MITRA berikutan pengalaman dan jaringan akar umbi yang dimiliki organisasi itu.

“Sebagai organisasi belia India terbesar yang mempunyai kehadiran di seluruh negara, MIYC bersedia untuk bekerjasama rapat dengan MITRA dalam melaksanakan pelbagai program yang dapat memperkukuh agenda pembangunan belia India.

“Kami yakin bahawa penglibatan organisasi belia yang mempunyai capaian terus kepada komuniti akan membantu memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan mencapai objektif yang disasarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast