Orang ramai tidak melepaskan peluang membanjiri hari pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 29 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan pengumuman Baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada semua pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa.

KPT dalam satu kenyataan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman insentif tersebut yang disifatkan mampu memberi manfaat besar kepada golongan mahasiswa di seluruh negara.

Menurut kementerian itu, keprihatinan Kerajaan MADANI berhubung pemberian baucar berkenaan merupakan satu langkah yang amat tepat dalam usaha menyuntik semangat dan menggalakkan mahasiswa untuk terus membudayakan amalan membaca serta aktif menimba ilmu pengetahuan.

“Keprihatinan Kerajaan MADANI ini adalah satu langkah yang amat tepat dalam usaha kita menyuntik semangat dan menggalakkan mahasiswa IPT untuk terus membudayakan amalan membaca serta aktif menimba ilmu pengetahuan,” katanya hari ini.

KPT berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar sebuah insentif bermakna kepada mahasiswa, malah merupakan satu pelaburan besar dalam usaha melahirkan bakat terbaik negara yang holistik dan berdaya saing.

Menurut kenyataan itu, usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi perlu terus diperkasakan bagi memastikan negara memiliki modal insan berkualiti tinggi pada masa hadapan.

“Menerusi insentif yang diberikan ini, KPT optimis ia mampu menggalakkan mahasiswa untuk terus membudayakan amalan membaca, merancakkan wacana intelektual di kampus, dan seterusnya memugar budaya keilmuan yang sentiasa dahagakan pengetahuan,” katanya.

Kementerian itu turut berpandangan bahawa insentif tersebut berupaya menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem pembelajaran yang lebih aktif serta menyuburkan persekitaran akademik yang berteraskan ilmu dan pemikiran kritis.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan pihaknya akan memperincikan maklumat lanjut mengenai syarat, kaedah pelaksanaan dan proses penebusan Baucar Buku MADANI dalam masa terdekat.

Semalam, Anwar mengumumkan pemberian Baucar Buku Madani sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, inisiatif pemberian baucar itu melibatkan pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mahasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Anwar berkata, keputusan pemberian baucar kepada dua kelompok itu selepas mengambil kira kemampuan kewangan semasa negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast