KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 pemain dari kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi senarai akhir 23 pemain bagi menggalas tugas skuad kebangsaan pada Kejuaraan Bawah-19 (B-19) ASEAN 2026 di Medan, Indonesia bermula 1 hingga 13 Jun 2026.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada 15 pemain itu, lapan daripadanya adalah pemain JDT III manakala baki tujuh pemain lagi beraksi untuk JDT IV.
Menurut FAM, rata-rata pemain dipilih ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain kali ini berusia dalam lingkungan 18 dan 19 tahun manakala penyerang JDT IV Arayyan Hakeem Norizam menjadi pemain paling muda, iaitu berusia 17 tahun.
“Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 yang berlangsung di tiga venue, iaitu Stadium Teladan, Stadium Madya 1 dan Stadium Utama Sumatera Utara disertai 11 pasukan, dengan tuan rumah yang juga juara bertahan Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Timor-Leste dan Myanmar.
“Kumpulan B menampilkan finalis edisi terdahulu, iaitu Thailand, Malaysia, Singapura dan Brunei manakala Kumpulan C dibarisi tiga pasukan – Australia, Kemboja dan Filipina,” menurut FAM.
Malaysia, yang muncul juara dua kali pada edisi 2018 dan 2022 akan memulakan kempen berdepan Singapura pada 2 Jun disusuli aksi menentang Brunei (5 Jun) sebelum melengkapkan saingan kumpulan bertemu Thailand (8 Jun).
Hanya juara kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik mara ke separuh akhir.
Pada edisi terakhir pada 2024 di Surabaya, Indonesia, skuad B-19 kebangsaan yang ketika itu dibimbing Juan Torres Garrido menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas pada penentuan sepakan penalti kepada Australia. – BERNAMA
















