Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyerahkan sumbangan untuk naik taraf masjid dal Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru dan Serahan Cek Cura Naik Taraf Infrastruktur di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Situasi geopolitik di Asia Barat masih dalam keadaan tidak menentu sekali gus tidak dapat menjamin kestabilan bekalan dan ekonomi terhadap pasaran tenaga global termasuk di negara ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ketika ini masih belum boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global itu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, perkembangan terkini di Asia Barat perlu dipantau kerana keadaan geopolitiknya masih tidak menentu dan berpotensi mempengaruhi bekalan minyak dunia.

Beliau berkata, berdasarkan data pasaran minggu lalu, harga minyak mentah Brent mencatatkan penurunan dan kekal berada di bawah paras AS$90 setong, manakala harga minyak spot pula berada di bawah AS$100 setong.

“Ini menunjukkan apa yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak.

“Bagaimanapun, untuk mengatakan perkara ini sudah selesai, kita masih menantikan perkembangan yang berlaku di Asia Barat. Walaupun dijangka ada sedikit lagi penurunan harga minyak minggu ini, keadaan masih lagi tidak menentu atau volatile,” katanya

Akmal Nasrullah berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru dan Serahan Cek Cura Naik Taraf Infrastruktur di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Katanya, isu utama ketika ini adalah memastikan bekalan fizikal minyak mentah terus berada dalam pasaran global memandangkan Selat Hormuz, yang menjadi laluan kritikal perdagangan tenaga dunia, masih belum dibuka sepenuhnya.

Sebarang gangguan terhadap laluan itu ujar beliau, boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga seterusnya menjejaskan kestabilan harga minyak dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menyelaras langkah intervensi yang diperlukan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan pasaran sehingga keadaan kembali reda.

Terdahulu media melaporkan perunding AS dan Iran mencapai persetujuan sementara bagi melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari serta rangka kerja rundingan nuklear.

Memorandum persefahaman itu masih tertakluk kepada kelulusan muktamad Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun perunding kedua-dua pihak sebahagian besarnya telah memuktamadkan syarat perjanjian. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast