Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 6.0 bermula 1 Jun ini hingga 31 Ogos depan bagi membendung sebarang aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta kos barangan asas negara.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dilaksanakan susulan lonjakan harga minyak mentah dunia pada awal tahun ini yang dijangka memberi kesan berperingkat kepada kos penghantaran, operasi dan harga barangan di pasaran.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah bagi meraih keuntungan berlebihan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.

Beliau berkata, Ops Kesan 6.0 akan melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas rantaian bekalan termasuk pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit.

“Antara sektor yang menjadi fokus operasi ialah sektor petrokimia melibatkan bahan pembungkusan, plastik dan baja pertanian, sektor pertanian melibatkan sayur-sayuran utama, sektor penternakan termasuk makanan ayam, ayam standard dan telur ayam, selain sektor pengangkutan melibatkan caj penghantaran logistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang operasi berlangsung, pegawai penguat kuasa KPDN akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga jualan dan kos operasi daripada premis yang diperiksa.

KPDN turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi notis tersebut atau mengemukakan maklumat palsu kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Menurut beliau, sekiranya siasatan membuktikan berlaku pencatutan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta bagi syarikat dan denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi individu bagi kesalahan berulang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast