JOHOR BAHRU – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi akan digunakan untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan bekalan strategik yang sudah dikenal pasti Kementerian Ekonomi.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah berkenaan merupakan usaha dan kaedah sama yang pernah dibincangkan ketika lawatan Perdana Menteri Australia ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja mengadakan perbincangan dengan negara-lain bagi memastikan rantaian bekalan terus terjamin, selain turut mengadakan libat urus dengan pihak industri.
Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah perlindungan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja, termasuk penyediaan peruntukan di bawah Skim Perlindungan Insurans Pekerja (SIP) bagi membantu pekerja yang terjejas sekiranya kesan krisis mula dirasai.
“Tumpuan kerajaan dalam tempoh terdekat adalah mengelakkan gangguan bekalan tenaga dan input pengeluaran daripada menjejaskan pendapatan serta pekerjaan rakyat.
“Kalau berlaku kekurangan bekalan, pihak industri mungkin terpaksa memperlahankan pengeluaran atau menutup barisan pengeluaran dan ini akan menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas. Sebab itu fokus ketika ini adalah memastikan bekalan mencukupi,” katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru dan Serahan Cek Cura Naik Taraf Infrastruktur di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah mengulas mengenai langkah yang dilakukan kerajaan bagi mengatasi isu pekerjaan dan pengangguran susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha memastikan aktiviti ekonomi negara terus beroperasi bagi mengekalkan peluang pekerjaan rakyat, terutama dalam tempoh awal krisis ekonomi yang ketika ini banyak dipengaruhi gangguan rantaian bekalan global.
Menurutnya, bagi tempoh dua hingga tiga bulan pertama krisis, keutamaan kerajaan adalah memastikan isu bekalan dapat ditangani agar tidak menjejaskan operasi perniagaan dan seterusnya pasaran pekerjaan.
Ujarnya, antara langkah yang sudah diambil ialah memastikan bekalan minyak negara berada pada tahap mencukupi bagi menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi.
“Fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan ekonomi terus bergerak supaya peluang pekerjaan dapat dikekalkan. Dalam dua hingga tiga bulan pertama krisis, antara isu utama yang perlu ditangani ialah berkaitan bekalan.
“Sebab itu kerajaan telah mengambil langkah memastikan bekalan minyak negara mencukupi, selaras dengan jaminan yang diumumkan bahawa bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga penghujung Julai,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kerajaan akan mengambil langkah segera dalam waktu terdekat ini untuk menangani isu peningkatan kehilangan pekerjaan sejak April lepas.
Anwar berkata, isu itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memperbaiki keadaan serta menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada mereka yang terjejas khususnya anak muda.
Seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.- MalaysiaGazette















