KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dikaitkan dengan logo kancil dan diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak mempunyai masa depan yang cerah serta gagal menawarkan sesuatu yang benar-benar meyakinkan rakyat.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Himli Zainol berkata, parti baharu itu dilihat sekadar membawa retorik politik lama kerana rakyat mengetahui individu yang menjadi tunjang utama di sebalik penubuhannya ialah Rafizi sendiri.
Menurutnya, rakyat sudah cukup mengenali corak politik bekas Menteri Ekonomi itu yang sering tampil dengan kritikan serta pelbagai formula yang didakwa mampu menyelesaikan masalah negara.
“Ini terbukti apabila diberi peluang memegang kuasa dan mengurus ekonomi negara, ramai merasakan prestasinya tidak setanding dengan harapan dan formula yang pernah dijanjikan.
“Politik bukan sekadar pandai mengkritik, atau menghasilkan formula yang menarik. Politik juga menuntut kemampuan membuat keputusan, menyelesaikan masalah rakyat dan menunjukkan hasil yang boleh dirasai secara nyata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dzul Himli berkata, rakyat telah menyaksikan sendiri jurang yang besar antara naratif dan formula yang dibawa Rafizi ketika menjadi pembangkang berbanding pencapaiannya apabila berada dalam kerajaan.
Justeru, beliau berpandangan bahawa parti Bersama berisiko mengulangi nasib sama yang pernah menimpa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekiranya hanya bergantung kepada populariti seorang individu, naratif lama serta rasa tidak puas hati terhadap parti asal tanpa menawarkan hala tuju yang jelas dan pasukan kepimpinan yang mantap.
“Sejarah politik Malaysia telah menunjukkan bahawa parti yang dibina atas pengaruh individu semata-mata sukar bertahan apabila gagal meyakinkan rakyat tentang agenda dan penyelesaian yang lebih baik.
“Percayalah Rafizi tidak mampu membawa perubahan dalam landskap politik Malaysia mahupun pentadbiran di dalam kerajaan, kerana sifat Rafizi sendiri yang sentiasa merasa betul yang saya gelarkan sebagai `diva’ adalah perkara-perkara yang akan dibenci oleh anggota parti Kancil, belum lagi dengan perangai adu domba dia,” dakwanya.
Tambah beliau, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan rekod dan pencapaian sebenar, bukannya persepsi atau publisiti yang dibina melalui kempen politik.
Katanya, sekiranya rekod tersebut gagal meyakinkan rakyat, maka perjuangan yang berasaskan individu dan didorong rasa kecewa terhadap parti lama tidak akan mendapat sambutan pengundi.
“Saya tidak yakin parti yang mengangkat perjuangan individu ini akan diterima pada PRU16 akan datang, maka masa depan parti ini akan menerima nasib yang sama seperti Pejuang menjelang PRU16,” katanya.
Rafizi sebelum ini menafikan dakwaan bahawa beliau membeli parti Bersama bagi membolehkan parti itu digunakan sebagai platform politik baharunya selepas meninggalkan PKR.
Sebaliknya, beliau menjelaskan penglibatannya dalam Bersama dibuat mengikut saluran yang sah dan telus serta menegaskan segala keputusan berkaitan parti berkenaan dibuat secara kolektif oleh kepimpinan sedia ada. – MalaysiaGazette
















