Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Berrsatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa melihat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ancaman kepada cita-citanya untuk kembali menjadi Perdana Menteri menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan pengaruh besar yang dimiliki bekas Timbalan Presiden Bersatu itu dalam kalangan pimpinan dan akar umbi parti.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, kekuatan Hamzah tidak boleh dipandang ringan apabila beliau mendapat sokongan daripada 19 ahli Parlimen dan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini bersama Bersatu.

Sokongan tersebut membuktikan Hamzah bukan pemimpin lemah seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu dalam kemelut dalaman parti itu, katanya.

“Saya 100 peratus yakin berdasarkan ilmu, pengetahuan langsung dan siasatan rapi saya sendiri bahawa menyokong, mendokong dan mempertahankan Hamzah selaku mantan setiausaha agung dan timbalan presiden Bersatu adalah tindakan yang tepat.

“Jauh lebih tepat berbanding membuta tuli mengikut  Muhyiddin yang kini sudah jelas tergelincir dari landasan moral dan prinsip yang selama ini beliau perjuangkan,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Muhyiddin menyedari Hamzah mempunyai kekuatan politik tersendiri sehingga dianggap mampu menggugat cita-citanya untuk kembali menerajui kerajaan Persekutuan melalui PN.

“Muhyiddin sedar sepenuhnya bahawa Hamzah adalah a clear and present threat kepada cita-citanya menjadi Perdana Menteri melalui PN.

“Hamzah bukan faktor pengekang tersebut tetapi para penjilat dan kuda trojan mencanang ego dan nafsu politik Muhyiddin dengan angan-angan palsu,” katanya.

Beliau berkata, sokongan kepada Hamzah bukan datang daripada kelompok kecil atau pemerhati luar sebaliknya daripada pemimpin yang terlibat secara langsung dalam membina dan menguruskan parti sejak penubuhannya.

“Kami yang 19 ahli Parlimen dan 20 ADUN menyokong Hamzah adalah bekas pemain utama Bersatu. Kami yang hadir mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya. Bukan tukang sorak. Bukan anjing belaan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa Muhyiddin dan bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Dr. Marzuki Mohamad gagal memahami denyut nadi akar umbi Bersatu kerana tidak terlibat secara langsung dengan pergerakan parti di peringkat bawahan.

Menurutnya, hakikat yang sukar diterima ialah ramai anggota akar umbi melihat Hamzah sebagai pemimpin yang lebih dekat dan mesra berbanding Muhyiddin yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang agak ‘sejuk’ dan kurang mendampingi ahli.

Beliau turut menegaskan, Hamzah dihormati dalam kalangan kepimpinan PN khususnya Pas selain mempunyai hubungan yang akrab dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak sebelum tertubuhnya PN dan Bersatu.

“Teruskan menyalak. Kami tetap melangkah maju menuju kemenangan, insya-Allah. Kita pakat #RESET,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast