Onn Hafiz Ghazi dan Wee Ka Siong dalam Mesyuarat BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – MCA memberi fokus kepada usaha meraih sokongan pengundi berbanding meletak sasaran khusus memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara tersebut lebih praktikal untuk jentera parti bekerja keras terlebih dahulu di peringkat akar umbi sepanjang tempoh berkempen tanpa berasa terlampau yakin.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, usaha tersebut akan disokong dengan perkembangan positif di negeri ini bawah kepimpinan Barisan Basional (BN).

“Kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak 2022 yang berjaya membawa limpahan ekonomi seimbang dan rakyat boleh menilai,” katanya ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini semalam.

Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan Mesyuarat BN Johor yang dihadiri kepimpinan parti-parti komponen gabungan itu di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, PRN Johor boleh diadakan pada bila-bila masa selepas lebih empat tahun BN mentadbir negeri sejak 2022.

Katanya, sebagai parti komponen BN, MCA mempersiapkan jenteranya di kesemua 56 DUN untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut.

“Kita sudah empat tahun dan memasuki tahun kelima, kini hampir sampai penghujung. Sudah tentu MCA telah bersiap sedia. Memasuki tahun kelima ini bermaksud PRN Johor akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Latihan pusat juga sudah diadakan bulan lalu. Ia dihadiri seramai 320 orang pemimpin di semua kawasan. Jentera telah digerakkan dan kerja-kerja yang perlu menjelang PRN telah dilakukan,” katanya.

Diminta mengulas tentang pembubaran DUN, Ka Siong berkata, perkara tersebut merupakan hak mutlak Menteri Besar mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Negeri setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast