KUALA LUMPUR – Agenda melahirkan pembaca baharu menjadi objektif strategik utama dalam pelaksanaan program Baucar Buku Madani, sekali gus membuktikan keupayaan industri perbukuan tempatan untuk menyumbang secara efisien kepada pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, fokus pemain industri ketika ini adalah membuktikan kecekapan ekosistem sedia ada dalam membantu menterjemahkan hasrat kerajaan membina masyarakat berilmu.
”Sebenarnya, sebelum berlangsungnya majlis pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), kami di industri perbukuan negara sudah reda dengan keputusan baucar ini hanya diberikan kepada pelajar sekolah menengah dan pelajar institusi pengajian tinggi sahaja.
“Kita faham dengan krisis tenaga global yang berlaku, cuma walaupun dengan kekangan itu, kami ada juga memohon untuk pusingan yang ketiga (pemberian baucar), tetapi kami faham situasi yang berlaku.
”Tetapi kita melihat usaha kerajaan tetap mahu membntu anak-anak kita dan terus mengangkat dunia ilmu dan pembacaan ini,” katanya selepas sesi pembentangan kajian impak Perbadana Kota Buku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Katanya, dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu lagi strategi yang diteruskan oleh kerajaan.
“Kami tunjukkan dahulu apa yang kita mampu, tahap efisien kita dan bagaimana kita boleh membantu negara capai objektif iaitu melahirkan pembaca baharu dan sebagainya.
“Kita tidak mahu berjumpa dengan pucuk kepimpinan tertinggi negara dengan hanya meminta bantuan dengan alasan industri yang susah.
“PKB mahu pastikan kesemua pemain industri ini berjaya dahulu, dengan sistem, struktur dan ekosistem yang sentiasa diperkemas.
“Kemudian kami tunjukkan inilah apa yang kami mampu beri kepada dunia perbukuan dan pembangunan negara secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Tambahnya, PKB akan sentiasa membuat penambahbaikan dari masa ke masa.
“Apabila ekonomi dunia kembali baik, saya pasti kerajaan tidak akan melupakan dunia buku dan ilmu ini.
“Insya-Allah kita cuba tahun depan untuk kembalikan baucar untuk anak-anak sekolah rendah,” katanya lagi.
Adibah juga berkata, empat penambahbaikan sedang dilakukan sebagai strategi masa hadapan perbukuan di Malaysia.
“Antaranya adalah penambahbaikan sistem iaitu dengan memperkemas kategori judul di Book Capital, penambahbaikan tawaran judul di mana tawaran judul terkini termasuk dari antarabangsa, pemantapan pengurusan dan pengukuhan sistem.
“Kalau sebelum ini, tempoh penghantaran mengambil masa sembilan hari dan ke atas, tetapi kita berharap tempoh ini dapat dikurangkan kepada enam hari sahaja,” katanya lagi.
Tambah Adibah lagi, kempen media sosial perlu dilakukan bertepatan dengan kehendak semasa dan PKB kini sedang berurusan dengan TikTok untuk merealisasikannya.
“PKB lakukan untuk industri perbukuan agar terus berjaya pada masa hadapan.
“Ini usaha kami dan akan terus memastikan ia dapat impak yang baik daripada semua pihak,” katanya.
Sementara itu pada sesi pembentangan dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku Guru Madani 2025 yang menunjukkan penyertaan memberangsangkan di seluruh negara, tahap kepuasan yang tinggi serta sumbangan signifikan kepada pembangunan profesional guru dan pemerkasaan budaya membaca negara.
Berdasarkan kajian komprehensif yang dijalankan bersama IDE Research Centre (IDERC) melibatkan 1,794 responden, program ini terbukti memberikan impak kukuh serta diterima baik.
“Sebanyak 92.0 peratus responden menyokong kesinambungan inisiatif ini, manakala 82.2 peratus menyatakan kepuasan terhadap pelaksanaannya secara keseluruhan.
“Kajian turut mendapati program ini berjaya menggalakkan amalan membaca dan pembangunan kendiri dalam kalangan pendidik di mana sebanyak 87.5 peraatus responden bersetuju bahawa inisiatif ini meningkatkan minat membaca, sementara 70.6 peratus menyatakan peningkatan aktiviti pembacaan sebagai faktor utama untuk meneruskan program ini,” katanya.
Jelasnya, komitmen guru terhadap pembelajaran sepanjang hayat turut jelas apabila 67.1 peratus responden membeli lebih daripada tiga buah buku dan 56.7 peratus menambah perbelanjaan sendiri bagi memaksimumkan nilai baucar.
“Dari segi kecekapan pelaksanaan, sebanyak 83.6 peratus responden menerima buku dalam tempoh 10 hari, manakala 91.1 peratus tidak menghadapi sebarang isu semasa proses penebusan dalam talian melalui platform BookCapital.my.
“Platform penebusan digital ini memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada pelbagai pilihan judul, sekali gus memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dengan menghubungkan pendidik kepada penerbit dan penjual buku tempatan,” katanya. -MalaysiaGazette
















