KUALA LUMPUR – Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ronnie Liu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu akan meneliti kenyataan pemimpin DAP itu kerana ada unsur fitnah terhadapnya, katanya dalam video di media sosialnya hari ini.
Pada 28 Mei lalu, Ronnie mendakwa Izham telah individu yang mencetuskan kontroversi penternakan babi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri.
Bekas wakil rakyat DAP itu turut mendakwa cadangan untuk memindahkan penternakan babi ke Bukit Tagar juga daripada Izham.
Izham seterusnya menganggap Ronnie membuat kenyataan itu semata-mata demi kepentingan politik terutama menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
“Pertama tuduhan idea saya menamatkan ternakan babi tempatan, ia satu tuduhan melulu dan dia (Ronnie) tahu kerana sebagai bekas exco, sebarang keputusan dibuat oleh Mesyuaat Kerajaan Negeri secara kolektif,” katanya.
Izham juga menafikan dakwaan Ronnie yang cadangan memindahkan penternakan babi ke Bukit Tagar.
“Dia (Ronnie) dengar sebelah pihak dan tak pernah tanya saya. Ia tuduhan liar dan tak berasas demi kepentingan politik,” tegasnya.
Isu penternakan babi di Selangor sebelum ini mencetuskan kontroversi sehinga ia ditamatkan selepas menerima titah daripada Sultan Selangor untuk memberhentikannya. – MalaysiaGazette
















