KUALA LUMPUR – “Kita sama-sama tunggu sikit lagi je barang ni keluar,” demikian hantaran salah seorang pelakon filem Konspirasi, Datuk Adi Putra.
Tanpa mengulas lanjut, beliau turut meminta peminat mendoakan filem berkenaan.
“Kalau ada yang tak puas tengok Datuk Adi Putra dalam filem Konspirasi yang terpaksa di keluarkan dari cinema (pawagam), kita sama-sama tunggu sikit lagi je barang ni keluar. Minta doakan banyak-banyak untuk filem ini ya,” katanya di Facebook.
Terdahulu, selepas hanya tujuh hari ditayangkan, penerbit Konspirasi, Elepfilm Entertainment, mengesahkan filem aksi thriller itu ditarik semula daripada tayangan di pawagam Malaysia bermula 28 Mei lalu.
Elepfilm Entertainment menerusi kenyataan hari ini menjelaskan penamatan filem itu dibuat atas pertimbangan situasi semasa tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 45, memegang watak utama sebagai Tuan Adli iaitu seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam filem itu.
Konspirasi mengangkat kisah badan penguat kuasa SPRM dalam misi berisiko tinggi membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit. – MalaysiaGazette
















