KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai 20 rekod jenayah lampau ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes ragut rantai emas bernilai kira-kira RM14,000 di Taman Connaught baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berumur pertengahan 30-an itu ditahan Ahad lalu di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini.
Menurut kenyataan hari ini, kejadian berlaku di hadapan sebuah kopitiam ketika mangsa bersama isterinya sedang bersarapan pukul 8 pagi, 12 April lalu.
“Semasa mangsa bersama isterinya sedang bersarapan di bahagian luar restoran, seorang suspek lelaki yang menunggang motosikal telah meragut rantai leher emas serta loket milik mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat, satu serbuan telah dijalankan oleh pihak polis pada 24 Mei lalu lebih kurang 2.30 petang di tepi jalan Kinrara 6, Bandar Kinrara, Puchong,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala permohonan reman telah ditolak dan suspek kini dilepaskan atas jaminan polis.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















