Tangkap layar video tular yang dikaitkan dengan jenayah seksual ke atas tahanan Palestin oleh tentera rejim Zionis. (Supplied: Channel 12)

RAMALLAH – Sebuah kumpulan pembela banduan pada Ahad menggesa agar Israel dipertanggungjawabkan atas keganasan seksual dan penyeksaan “sistematik” terhadap tahanan Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jenayah Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk pencabulan ke atas ribuan tahanan, memerlukan pegawai Israel dipertanggungjawabkan dan mendakwa mereka di hadapan mahkamah antarabangsa yang kompeten,” kata Persatuan Tahanan Palestin dalam satu kenyataan.

Menurut laporan oleh pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat, 31 kes keganasan seksual disahkan dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat pada tahun lepas.

Menurut laporan itu, 13 daripada kes berlaku pada 2025 dan 18 kes dalam dua tahun sebelumnya.

Laporan itu menyatakan pelanggaran termasuk rogol, rogol berkumpulan, bogel paksa dan ugutan rogol.

Kumpulan Palestin itu menyambut baik laporan PBB tersebut, menyatakan ia mencerminkan “pengakuan antarabangsa yang semakin meningkat” terhadap skala pencabulan Israel terhadap rakyat Palestin.

Jenayah keganasan seksual “tidak lagi didokumenkan sebagai pelanggaran individu atau luar biasa, sebaliknya sebagai dasar dan alat penindasan dan hukuman kolektif yang diamalkan secara sistematik oleh institusi pendudukan,” tambahnya.

Ia menekankan jenayah itu menyamai “jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan” di bawah undang-undang antarabangsa.

Persatuan itu berkata keterangan tahanan Palestin menunjukkan bahawa pencabulan di dalam penjara Israel “bukan insiden terpencil, tetapi sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan untuk mematahkan semangat Palestin dan melucutkan maruah dan kemanusiaan mereka.”

Menurut angka Palestin, lebih 9,300 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk wanita dan individu bawah umur.

Banyak kematian dilaporkan dalam kalangan rakyat Palestin dalam tahanan Israel akibat penyeksaan, kelaparan dan pengabaian perubatan, menurut kumpulan hak asasi manusia. – BERNAMA-ANADOLU

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast