Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia sembilan tahun maut, selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya, Ampang, malam tadi.

​Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan pada 7.45 malam, yang menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut dipercayai ditinggalkan bersendirian di dalam rumah ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Ampang.

​Susulan insiden itu, Khairul Anuar berkata polis telah merakam keterangan lima individu terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa, serta saksi awam bagi membantu siasatan.

​Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana pengabaian terhadap kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast