KUALA LUMPUR – Pasukan kejuruteraan kini sedang giat melakukan pembaikan landasan termasuk penggantian komponen yang rosak serta kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini.
Menurut Rapid KL, ia bagi membolehkan pemeriksaan dan penilaian lanjut dilaksanakan dengan selamat dan menyeluruh, selepas dua gerabak terakhir berjaya dinaikkan semula ke landasan semalam.
“Seiring dengan itu, semua kren utama yang digunakan sepanjang operasi mengangkat gerabak telah dikeluarkan dari lokasi, sekali gus membolehkan tumpuan penuh diberikan kepada kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan sistem yang terjejas,” kata Rapid KL menerusi kenyataan.
Sebagai rekod, dua gerabak berkenaan berjaya diletakkan semula di landasan pada jam 5.45 pagi, semalam.
Dalam pada itu, Rapid KL berkata, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma masih kekal
beroperasi.
Dalam masa yang sama, tambahnya, penumpang disarankan menggunakan laluan rel alternatif atau mod pengangkutan lain bagi meneruskan perjalanan, termasuk menggunakan Laluan Kelana Jaya, Laluan Putrajaya, Laluan Kajang dan Laluan Monorel KL menerusi stesen-stesen pertukaran berhampiran.
“Anggota Polis Bantuan, petugas stesen dan Rapid Troopers terus ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat.
“Penumpang boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi
MyRapid PULSE,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















