Datuk Haji Khairul Fais bin Anuar bersama isteri, Datin Hajah Noor Adawiah binti Ab Aziz ketika berada di Padang Arafah semasa menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.

KUALA LUMPUR – Pengalaman spiritual semasa menunaikan haji pencetus idea kepada penulis lirik, Datuk Khairul Fais Anuar dan isterinya untuk terus berkarya.

“Saya berharap pengalaman ini akan membuka ruang ilham untuk saya menghasilkan lirik-lirik lagu berteraskan nilai keagamaan, kasih sayang sesama insan dan kecintaan kepada Allah SWT,” kata Pengasas dan Penaung Pertubuhan Hal Ehwal Kebajikan Tanahair Malaysia (Pekata Malaysia).

Beliau telah berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M bersama isterinya, Datin Noor Adawiah Ab Aziz.

Pasangan tersebut berlepas pada 18 Mei 2026 menerusi pakej Tabung Haji Travel dan berada di Tanah Suci sehingga 5 Jun 2026 bagi menyempurnakan seluruh rukun dan wajib haji.

Menurut Khairul Fais, peluang menjadi tetamu Allah SWT bersama isteri merupakan satu nikmat yang amat besar dan menjadi impian setiap umat Islam.

“Alhamdulillah, saya dan isteri amat bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menunaikan rukun Islam kelima. Kami sentiasa memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar perjalanan dan ibadah kami dipermudahkan serta dikurniakan haji yang mabrur.

“Jika diizinkan, saya mahu menghasilkan karya yang lahir daripada pengalaman haji ini sebagai perkongsian kepada masyarakat.

“Isteri saya, Hajah Noor Adawiah atau KrisdaEyda pula berharap perjalanan spiritual ini dapat memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan sebuah buku yang merakamkan pengalaman, pengajaran dan hikmah sepanjang berada di Tanah Suci agar dapat dikongsikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Datuk Haji Khairul Fais merupakan Pengasas dan Penaung Pekata Malaysia yang aktif memperjuangkan pelbagai agenda kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Di bawah kepimpinan beliau, Pekata Malaysia terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai program bantuan kemanusiaan, kebajikan masyarakat, pembangunan komuniti dan inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di seluruh negara.

Selain aktif dalam bidang kebajikan, beliau turut dikenali dalam dunia seni kreatif sebagai penulis lirik lagu dengan menggunakan nama pena Paklong DKFA.

Antara karya yang pernah dihasilkan beliau termasuk lagu “Tetap Ku Cinta” nyanyian Projector Band featuring Jovita Pearl, “Maafkanlah Aku” nyanyian Projector Band serta “Kehilangan” nyanyian Satu Band.

Penglibatan beliau dalam industri muzik membuktikan minat dan bakat yang mendalam dalam bidang penulisan kreatif di samping komitmennya dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Noor Adawiah yang menggunakan nama pena KrisdaEyda turut dikenali sebagai penulis lirik lagu dan ahli korporat yang aktif dalam pelbagai program pembangunan masyarakat serta aktiviti kebajikan.

Dalam perkembangan lain, Khairul Fais turut menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterimanya apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Mohd Ali Rustam pada tahun 2024.

Beliau menyifatkan pengurniaan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dalam usaha meneruskan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan tetapi satu amanah untuk saya terus berkhidmat dan membantu masyarakat. Saya berharap Pekata Malaysia akan terus berkembang sebagai platform kebajikan yang mampu memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau sempat bertemu dengan Ali Rustam semasa menunaikan haji kali ini.

Beliau turut berharap perjalanan ibadah haji bersama isteri menjadi medan untuk memperkukuhkan keimanan, meningkatkan ketakwaan serta mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast