P. Ramasamy.

KUALA LUMPUR – Pas tidak seharusnya beranggapan dan bertindak seolah-olah hanya parti itu yang berhak menentukan hala tuju pembangkang di negara ini.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, Pas mungkin popular dalam kalangan orang Melayu di beberapa negeri tertentu, namun parti itu masih kekurangan sokongan yang signifikan daripada masyarakat bukan Melayu.

Sebaliknya, menurut beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai bahagian sokongan Melayu yang tersendiri, berkemungkinan turut mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

“Tiada pemimpin Melayu dalam Pas yang mempunyai pengalaman dan pendedahan politik setanding dengan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin),” katanya dalam satu kenyaataan hari ini.

Ramasamy mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menegaskan hanya anggota sah Perikatan Nasional (PN) dibenarkan bertanding menggunakan logo itu.

Tuan Ibrahim berkata, tiada keputusan memperluaskannya kepada parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) memandangkan isu itu tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat rasmi dan PN hanya membenarkan anggota parti komponennya sahaja bertanding dengan logo PN.

Tuan Ibrahim menjawab laporan yang memetik Muhyiddin sebagai berkata, parti-parti politik di bawah IPR boleh bertanding pada PRN Melaka akan datang menggunakan lambang PN.

Sementara itu, Ramasamy mempersoalkan sama ada Pas bimbang dengan pembentukan gabungan yang lebih besar bagi menentang Pakatan Harapan (PH) apabila tidak membenarkan IPR menggunakan logo PN.

Atau katanya, sama ada Pas khuatir bahawa IPR mungkin akan mengukuhkan kedudukan dan kepimpinan Muhyiddin.

Malah, dakwa beliau, keengganan untuk mengiktiraf IPR seolah-olah menunjukkan bahawa Pas mempunyai motif politik tertentu dalam usaha meminggirkan Bersatu.

“Sama ada keengganan untuk memberi ruang kepada IPR merupakan satu usaha untuk menghidupkan semula pengaruh politik (Datuk Seri) Hamzah Zainudin dan rakan-rakannya yang telah disingkirkan daripada Bersatu masih belum jelas,” katanya.

Tambah Ramasamy, walaupun beliau tidak boleh bercakap bagi pihak keseluruhan IPR, namun tegasnya, Urimai tidak terdesak untuk menyertai PN.

Jelasnya, memandangkan PN merupakan gabungan pembangkang yang bersifat menyeluruh, Urimai berminat untuk mengambil bahagian dalam usaha bersama bagi menentang kerajaan PH yang didakwa penuh dengan hipokrasi.

“Walaupun kami menghormati Muhyiddin dan parti Bersatu, kami sama sekali tidak terlalu ghairah atau terdesak untuk menyertai PN.

“Sekiranya terdapat kemungkinan Bersatu bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya akan datang, kami bersedia untuk memberikan sokongan kepada parti tersebut dalam kerangka IPR,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast