JOHOR BAHRU – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Johor yakin Perikatan Nasional (PN) berada pada kedudukan terbaik untuk menawarkan alternatif kerajaan negeri.
Pengerusi MIPP Johor, Dr S Saswin berkata, kerajaan negeri PN mampu menawarkan kepimpinan yang lebih stabil, berintegriti dan mengutamakan kepentingan rakyat Johor.
Pada masa sama, parti tersebut akan terus berdamping dengan rakyat untuk mendengar segala permasalan mereka.
“MIPP akan terus bekerja keras mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta memastikan suara rakyat terus diperjuangkan demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau menegaskan parti itu kini berada dalam mod pilihan raya sepenuhnya dan bersedia menghadapi sebarang ketetapan yang bakal diputuskan pucuk pimpinan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kami sudah bersedia. Jentera sudah bergerak. Perikatan Nasional siap menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor,” katanya lagi.
Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette
















