Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa usaha lebih tegas dilaksanakan bagi membendung ketagihan nikotin dalam kalangan golongan muda susulan peningkatan akses kepada produk vape dan rokok elektronik.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kebimbangan itu terbukti apabila Mahkamah Tinggi pada 15 Mei lalu memutuskan tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada Senarai Racun sebagai tidak rasional dan cacat dari segi prosedur.

Beliau berkata, keputusan itu mengesahkan kebimbangan pejuang kesihatan awam bahawa langkah berkenaan akan memudahkan akses kepada produk nikotin serta meningkatkan risiko ketagihan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Keputusan ini merupakan satu pencapaian penting bagi kawalan tembakau dan kesihatan awam di Malaysia.

“Kami telah lama membangkitkan kebimbangan bahawa pengeluaran nikotin cecair dan gel yang digunakan dalam produk vape daripada kawalan Akta Racun 1952 akan memudahkan akses kepada produk berasaskan nikotin.

“Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko ketagihan nikotin terutama dalam kalangan orang muda yang menjadi sasaran penting industri bagi memastikan kesinambungan pengguna pada masa depan,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Mohideen, industri tembakau terus bergantung kepada strategi pemasaran dan inovasi produk untuk menarik pengguna baharu walaupun berdepan tekanan kawal selia yang semakin ketat di seluruh dunia.

Katanya, penggunaan perisa, reka bentuk pembungkusan yang menarik serta ciri produk yang lebih mudah digunakan menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh meningkatkan daya tarikan terhadap golongan muda.

“Penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah turut menimbulkan kebimbangan kerana peranti berkenaan lebih mudah disembunyikan dan kurang berbau berbanding rokok biasa, sekali gus menyukarkan pengesanan.

“Malah, sesetengah peranti vape juga dikhuatiri boleh digunakan untuk mengambil bahan terlarang termasuk ganja dan dadah sintetik, sekali gus mewujudkan cabaran tambahan kepada kesihatan awam dan penguatkuasaan.

“Justeru kita menggesa orang ramai menjauhi amalan merokok dan menghisap vape serta mendapatkan bantuan untuk berhenti daripada penggunaan nikotin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast