BALING – Dua pemandu maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas di Kampung Batu Tujuh, Binjul, Kuala Ketil di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.22 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurut beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan dengan kedua-dua pemandunya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pemandu Perodua Myvi, seorang wanita berusia lingkungan 20-an, berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
“Manakala pemandu Proton Saga, lelaki berusia 20-an yang tersepit, berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas dalam tempoh kira-kira 20 minit.
“Seorang lagi mangsa yang juga lelaki berusia lingkungan 20-an dan merupakan penumpang kereta berkenaan, mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette















