Masjid Al Aqsa

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbaharu pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh peneroka haram Zionis Israel, termasuk perbuatan mengibarkan bendera Israel di dalam kawasan suci itu.

Kementerian Luar menerusi kenyataan menyifatkan, tindakan tersebut sebagai satu cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta mencemarkan ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Malah,  kementerian itu menegaskan, sebarang usaha melakukan proses “Yahudisasi” terhadap Masjid Al-Aqsa merupakan tindakan keji yang mencemarkan kesucian masjid berkenaan.

“Tindakan peneroka haram yang dilakukan dengan sokongan rejim Zionis Israel itu adalah usaha berterusan untuk mengubah realiti di lapangan selain menjejaskan ciri-ciri budaya, sejarah dan identiti Masjid Al-Aqsa.

“Tindakan sedemikian adalah bersifat provokatif, tidak boleh diterima sama sekali serta jelas mengabaikan peranan penjagaan tapak suci umat Islam di Baitulmaqdis.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika permusuhan dan pencerobohan berlaku secara terang-terangan,” kata Wisma Putra.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan pelanggaran berterusan tersebut serta memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan mengulangi pendirian konsisten negara dalam menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Menurut kenyataan itu, negara Palestin yang diperjuangkan perlu berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast