Rasid Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, di samping itu parti tersebut juga akan menampilkan lebih ramai calon muda yang berkualiti, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan kepada masyarakat.

Jelas beliau, MUDA menawarkan calon-calon dengan kriteria terbabit sebagai pilihan yang segar untuk rakyat Johor.

“MUDA percaya sudah tiba masanya lebih ramai anak muda diberikan peluang untuk memimpin dan menyumbang secara langsung dalam proses membuat keputusan di peringkat negeri.

“Dalam minggu-minggu mendatang, MUDA akan mengumumkan barisan calon serta agenda yang akan dibawa untuk memastikan suara rakyat Johor terus diangkat dan diperjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Johor merupakan negeri yang muda, dinamik dan penuh potensi namun cabaran yang dihadapi rakyat hari ini memerlukan lebih daripada sekadar politik lama serta wajah yang sama.

Johor katanya, memerlukan barisan pemimpin yang memahami aspirasi generasi baharu selain berani membawa pembaharuan dan bersedia mempertahankan kepentingan rakyat.

PRN kali ini ujar beliau, bukan sekadar soal parti politik atau perebutan kuasa tetapi adalah soal masa depan Johor dan generasi yang akan mewarisinya.

Pihaknya pada masa sama mengambil maklum pembubaran DUN Johor dan menghormati keputusan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Menurutnya, PRN merupakan detik penting untuk rakyat menilai prestasi kerajaan, menuntut tanggungjawab daripada mereka yang diberi amanah, serta menentukan hala tuju masa depan Johor untuk lima tahun akan datang.

“MUDA akan terus memainkan peranan aktif dalam PRN Johor kali ini dan akan mempertahankan kerusi Puteri Wangsa yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

“Kemenangan di Puteri Wangsa membuktikan bahawa rakyat Johor bersedia memberikan peluang kepada politik baharu yang berteraskan integriti, keberanian dan kesungguhan untuk berkhidmat,” katanya.

Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi semalam.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast