KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu mencipta keputusan di luar jangka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang susulan prestasi memberangsangkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, faktor pembangunan pesat negeri tersebut hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan antara penyumbang kepada kejayaan itu.
Katanya, keputusan PRU15 yang menyaksikan PH menguasai 14 kerusi Parlimen di Johor berbanding sembilan dimenangi UMNO-Barisan Nasional membuktikan rakyat negeri itu membuat pilihan berdasarkan prestasi serta hala tuju masa depan apabila keluar mengundi dalam jumlah besar.
“Kejayaan Johor muncul sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi di Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hubungan erat kedua-dua kerajaan itu telah membantu menarik pelaburan global melebihi RM110 bilion, sekali gus menjadikan Johor sebagai destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.
“Jika bukan kerana sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan, mustahil Johor mampu muncul sebagai negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia serta menjadi tumpuan pelabur antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menegaskan, kejayaan pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang berjaya menarik perhatian pelabur antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk pelaburan ke Malaysia.
Selain itu, Danish berkata, rakyat Johor kini menikmati pelbagai manfaat termasuk peluang pekerjaan baharu, gaji yang lebih baik, pembangunan pusat data bernilai berbilion ringgit dan pertumbuhan industri masa depan yang dipacu oleh keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi kerajaan.
Menyentuh isu kesesakan di sempadan, beliau berkata, projek Rapid Transit System (RTS) Link yang sedang giat dibangunkan bakal menjadi penyelesaian utama kepada masalah kesesakan di Tambak Johor, selain penambahbaikan sistem imigresen menggunakan kod QR dan pembangunan infrastruktur sempadan.
Menurutnya, pelbagai projek lain termasuk usaha tebatan banjir juga bergantung kepada peruntukan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan, sekali gus membuktikan peranan penting kerajaan pusat dalam membantu menyelesaikan isu rakyat di Johor.
“Johor tidak menjadi negeri pelaburan nombor satu Malaysia secara kebetulan. Johor tidak menerima limpahan pelaburan berbilion ringgit, memperoleh RTS dan menikmati pembangunan JS-SEZ secara kebetulan.
“Semua ini berlaku kerana Johor mendapat manfaat daripada sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, mesra pelaburan dan berwibawa,” katanya.
Beliau percaya rakyat Johor akan membuat penilaian secara adil pada pilihan raya akan datang dengan mengambil kira faktor pembangunan, peluang pekerjaan, pelaburan serta kemampuan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, kejayaan pembangunan Johor pada hari ini perlu dilihat sebagai hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar, yang menurutnya menjadi pemangkin utama kepada pelbagai pencapaian negeri itu. – MalaysiaGazette.
















