JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda tenang membuat pengakuan salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh secara tidak sengaja seorang daripada bayi kembarnya yang baru dilahirkan bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin yang berusia 22 tahun mengangguk faham dan mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan dengan niat mendatangkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta Blok Rajawali, Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, di sini, antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang dan tidak bekerja itu memohon agar dibenarkan untuk dijamin atas alasan menjaga seorang lagi bayi yang merupakan kembar kepada mangsar selain mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 3 Julai ini sebagai ditetapkan tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan menjatuhkan hukuman.
Terdahulu portal ini melaporkan, polis menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi berkenaan di kawasan parkir flat berkenaan sekitar 2.40 petang.
Suspek yang merupakan ibu kandung kepada bayi berkenaan ditahan pada pukul 12 tengah hari di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam.- MalaysiaGazette
















