GEORGE TOWN – Isu berkaitan proses Permintaan Cadangan (RFP) Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) yang sebelum ini menjadi perhatian umum akhirnya selesai.
Penyelesaian itu selepas Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Aspen Group Holdings Limited (Aspen) mencapai kata sepakat dalam satu pertemuan bagi merungkai perbezaan tafsiran antara kedua-dua pihak.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak mengesahkan PDC sebagai badan penilai telah melaksanakan sepenuhnya kuasa budi bicara dan prerogatifnya dalam menilai semua cadangan di bawah proses RFP tersebut dengan keputusan dibuat atas asas kepentingan terbaik negeri Pulau Pinang dan rakyatnya.
Aspen dalam masa sama mengakui serta menghormati kedudukan PDC sebagai pihak berkuasa penilai dan tidak mencabar keputusan hasil RFP berkenaan sekali gus meredakan persoalan yang timbul sebelum ini mengenai hala tuju proses tersebut.
Kedua-dua pihak turut menjelaskan kenyataan awam yang dikeluarkan pada 22 dan 28 Mei lalu masing-masing dibuat atas kapasiti dan kewajipan tersendiri iaitu Aspen sebagai syarikat tersenarai awam manakala PDC sebagai badan pelaksana berdasarkan pemahaman ketika proses penilaian sedang berjalan.
“Antara isu utama yang diperjelaskan ialah berkaitan cadangan pembinaan jambatan apabila PDC menyatakan permintaan Hak Tawaran Pertama (FROR) ke atas kira-kira 580 ekar tanah bersebelahan telah dikemukakan bersama komitmen pembinaan jambatan sekali gus menyebabkan kedua-dua elemen itu ditafsirkan sebagai saling berkait.
“Perbezaan tafsiran itu bagaimanapun kini disifatkan telah diselesaikan sepenuhnya selepas perbincangan terus antara kedua-dua pihak, yang turut membuka ruang kepada penjelasan bersama secara langsung,” kata kenyataan bersama itu.
PDC dan Aspen turut mengakui dialog terus antara badan penilai dan penawar dalam projek berskala besar seperti RFP ini adalah penting bagi mengelakkan salah faham dan menyelesaikan perbezaan tafsiran dengan lebih pantas.
“Kedua-dua pihak turut mengesahkan perkara ini telah selesai secara rasmi dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berkaitan proses RFP BKIP2 selain menegaskan komitmen berterusan terhadap pembangunan Pulau Pinang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kecoh apabila Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bertikam lidah dengan Lim Guan Eng.
Pertikaian tercetus berhubung kegagalan proses tender bagi projek cadangan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) di Byram.
Ketegangan berlaku semasa Kon Yeow menyampaikan ucapan penggulungan yang menyentuh isu urus tadbir Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). – MalaysiaGazette















