KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh sejak tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan yang dikenali sebagai Ameera Farhana Sarif Abdullah pada pukul 10.45 malam, semalam.
Menurut beliau, remaja itu dilaporkan tiada di rumah sejak kira-kira jam 12 tengah hari pada hari yang sama.
“Ameera Farhana dilahirkan pada 11 April 2012 dan berumur 14 tahun satu bulan. Lokasi terakhir mangsa dipercayai di Lot 1379, Jalan Gajah 2, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kali terakhir dilihat, remaja itu memakai baju T berwarna coklat, seluar jeans biru muda, bertudung hitam serta membawa sebuah beg galas.
“Dari segi fizikal, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 148 sentimeter, berat 49 kilogram, berkulit sawo matang dan berambut paras bahu,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedudukan remaja berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















