KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyambut baik pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Ahli Parlimen DAP itu menegaskan, langkah memperketat perlindungan termasuk mekanisme pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun merupakan keutamaan mendesak demi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di negara ini.
Menurut beliau, cabaran terbesar ibu bapa pada masa kini bukan lagi sekadar memantau pergerakan anak-anak di luar rumah, sebaliknya memastikan keselamatan mereka dalam dunia digital yang semakin kompleks dan berisiko.
“Kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai ancaman dalam talian termasuk buli siber, penipuan, kandungan tidak senonoh serta risiko menjadi mangsa pemangsa seksual.
“Gajet dan internet sememangnya penting untuk masa depan serta pembelajaran anak-anak, namun apa yang kita mahukan ialah ruang digital yang selamat, bersih dan sesuai dengan usia mereka. Kita mahu mereka meneroka internet tanpa rasa bimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syefura berkata, tanggungjawab menyediakan persekitaran internet yang selamat tidak boleh dipikul oleh ibu bapa semata-mata kerana cabaran yang wujud memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu.
Beliau menegaskan, syarikat penyedia platform media sosial juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dan tidak boleh melepaskan tanggungjawab terhadap aspek keselamatan pengguna muda.
“Penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab penuh dan meletakkan keselamatan anak-anak sebagai keutamaan mengatasi keuntungan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha melindungi kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kerajaan, platform digital, institusi pendidikan, komuniti setempat dan keluarga.
“Bersama-sama, kita mesti memastikan masa depan digital anak-anak kita lebih selamat dan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette
















