KUALA LUMPUR – Bermula daripada sebuah gerai kecil yang menjual capati berasaskan resipi keluarga, seorang usahawan tempatan kini berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga memiliki restoran sendiri yang terkenal dengan hidangan berasaskan kambing di Setia Alam.
Restoran Ya Salam yang diusahakan oleh Mohamad Abdussalam Idris, 38, semakin dikenali dalam kalangan penggemar makanan berempah menerusi sajian capati yang dipadankan dengan pelbagai jenis kari, termasuk menu utamanya iaitu Capati Rusuk Kambing Afghanistan.
Mohamad Abdussalam berkata, minatnya dalam bidang makanan bermula sejak usia muda hasil pendedahan daripada arwah bapanya yang menjalankan perniagaan capati di Padang Matsirat, Langkawi.
“Saya mendapat suntikan semangat daripada Allahyarham ayah yang juga seorang peniaga capati. Resipi ini saya pelajari daripada beliau dan saya juga banyak membantu di gerainya.
“Sebelum ini saya pernah membuka gerai di Alor Setar dan beberapa kawasan lain sebelum berjaya membuka restoran di Setia Alam,” katanya.

Menurutnya, restoran itu turut melalui proses penjenamaan semula yang diinspirasikan daripada namanya sendiri.
Konsep yang diketengahkan memberi tumpuan kepada capati sebagai hidangan utama yang dipadankan dengan pelbagai jenis kari menggunakan campuran rempah khas bagi menghasilkan rasa yang lebih autentik.
Menu paling mendapat sambutan ialah Capati Rusuk Kambing yang menggabungkan capati lembut bersama rusuk kambing yang dimasak perlahan dalam kuah kari pekat dan berempah.
Selain itu, restoran berkenaan turut menawarkan pelbagai pilihan hidangan lain termasuk Capati Kari Kambing, Capati Kari Ayam, Capati Keema Daging, Capati Sardin, Nasi Arab Kambing, Nasi Arab Ayam dan Sup Kambing.
“Kami juga menawarkan menu baharu seperti Kuzi Kambing dan Capati Kari Tengkuk Kambing yang mendapat sambutan ramai kerana isi dagingnya yang lebih manis,” katanya.

Jelasnya, antara keistimewaan yang sering dikaitkan dengan restoran itu ialah tekstur capati yang lembut hasil penggunaan bahan berkualiti dan teknik penyediaan tersendiri.
Malah katanya, slogan “Lembut walaupun 3 hari” digunakan bagi menggambarkan kualiti capati yang dihasilkan.
Selain hidangan berasaskan capati, nasi Arab yang disajikan turut mendapat perhatian pelanggan kerana penggunaan rempah aromatik yang dipadankan dengan pilihan kambing atau ayam.
Restoran yang terletak di kawasan komersial Setia Alam itu menawarkan suasana santai dan mesra keluarga, sekali gus menjadi pilihan pelanggan untuk menikmati makan petang dan makan malam.
Dengan operasi bermula sekitar jam 3 petang sehingga lewat malam, restoran berkenaan terus menarik kehadiran pelanggan yang mencari hidangan berasaskan capati, kari dan nasi Arab di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan industri makanan yang semakin kompetitif, Mohamad Abdussalam berkata, beliau komited mengekalkan resipi tradisional keluarga sambil memperkenalkan variasi menu baharu bagi memenuhi citarasa pelanggan yang semakin pelbagai. – MalaysiaGazette
















