KUALA LUMPUR – Johor berpeluang menjadi negeri terkehadapan di Semenanjung untuk menyemarakkan amalan federalisme di Malaysia, seperti yang wujud di Sarawak.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Johor juga boleh menjadi model penyatuan politik parti-parti Melayu, sambil disokong oleh bukan Melayu yang tidak ekstrem, sebagai cerminan semangat sebenar acuan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, menurutnya, beliau gembira apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar penyusunan baharu politik Melayu dimulakan di Johor.
Malah, beliau turut melahirkan keyakinan gerakan `Reset’ yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga terbuka dengan cadangan itu.
“Alangkah baiknya jika gabungan UMNO, PAS dan RESET membentuk kerajaan negeri Johor, seterusnya menjadikan Johor sebagai model untuk Malaysia secara keseluruhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sementara itu, tambah Wan Saiful yang juga bekas pemimpin Bersatu, isu logo dan nama parti adalah isu teknikal yang boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya perkara prinsip telah dipersetujui.
Apatah lagi, ujarnya, Malaysia sudah biasa dengan calon parti A menggunakan logo parti B atas dasar kerjasama, seperti yang dilakukan dalam PRU-14.
Atas dasar penyatuan, tambah beliau, tidak mustahil satu logo yang sama digunakan oleh semua calon walaupun berbeza parti, atau diwujudkan logo baharu untuk gabungan baharu.
Dakwanya, parti seperti Pakatan Harapan (PH) yang meremehkan agenda penyatuan Melayu perlu ditolak, dan parti-parti yang semakin cenderung ke arah PH kerana mahu menyelamatkan diri sendiri dan ahli keluarga juga perlu ditolak.
“Kerjasama di Johor tidak perlu menggugat kerjasama di peringkat persekutuan kerana, seperti yang saya sebut di awal tulisan ini, kepelbagaian susun atur adalah perkara sihat dalam sistem federalisme.
“Johor boleh melakar sejarah melalui PRN ini. Rundinglah dengan meletakkan matlamat penyatuan sebagai paling tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















