Liaw Mooi Hoon didenda RM850 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah mengalihkan harta seorang lelaki ke dalam akaun bank miliknya bulan lalu

KOTA TINGGI – Tindakan menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan membawa padah kepada seorang kerani apabila dikenakan denda RM850 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Liaw Mooi Hoon, 47, dijatuhi hukuman tersebut selepas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pilihan, Mooi Hoon didakwa secara tidak jujur membantu mengalihkan harta bernilai RM4,270 milik seorang lelaki ke dalam akaun Bank Islam miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada pukul 10.05 malam, 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa tertarik dengan satu iklan pakej percutian dalam aplikasi Facebook pada 3 Mac lalu sebelum bertindak memindahkan wang pendahuluan ke akaun Bank Islam milik tertuduh.

Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal menerima pakej percutian yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast