Tan Chee Gang didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Seorang pembuli jalan raya yang tular dihukum penjara sehari serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Chia Huey Ting menjatuhi hukuman itu selepas Tan Chee Gang, 37, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah dan memandu secara berbahaya di Jalan Tun Dr Awang di sini.

Mahkamah turut memerintah tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berjumlah RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan menghina dengan menunjukkan isyarat lucah iaitu jari tengah kepada Omar Che Din, 59, dengan niat menimbulkan ketakutan, di Jalan Tun Dr Awang di sini, jam 11.27 pagi pada 28 Mei lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, Chee Gang didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memandu kenderaan jenis Perodua Myvi dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna-pengguna jalan yang lain di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK), Chester.

Dalam rayuan, Chester memohon hukuman minimum atas alasan tertuduh berpendapatan sekitar RM80 sehari sebagai pemandu lori serta menanggung ibu bapa, selain mengaku insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Ikmal Affandi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya sentiasa menjaga tingkah laku di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Difahamkan tertuduh tidak membayar denda tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemandu tunjuk isyarat lucah, lakukan ugutan jenayah ditahan

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang tular selepas menunjukkan isyarat lucah serta melakukan ugutan terhadap seorang pengguna jalan raya dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang di sini, ditahan polis.

Menerusi video berdurasi 58 saat itu, suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast