Kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Satu pertemuan tertutup melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ketua-ketua cabang Johor berlangsung di Kompleks Sri Perdana di sini petang ini.

Ia menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai perkembangan politik semasa terus hangat diperkatakan.

Menurut sumber parti yang enggan dikenali, pertemuan itu turut melibatkan beberapa pimpinan utama termasuk ahli-ahli Biro Politik Johor.

Pertemuan bermula pada pukul 5 petang itu diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri dan difahamkan membincangkan beberapa perkara berkaitan hala tuju serta persiapan politik parti.

Walaupun agenda perbincangan tidak didedahkan, pertemuan berkenaan mencetuskan pelbagai tanda tanya  memandangkan ia berlangsung ketika PKR berdepan beberapa perkembangan politik yang mendapat perhatian ramai.

Antara yang menjadi perbualan ketika ini termasuk spekulasi berhubung kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan serta persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka menjadi tumpuan  dalam tempoh terdekat.

MalaysiaGazette difahamkan, satu lagi mesyuarat penting melibatkan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut dijadual berlangsung di Batu Pahat, Johor pada 6 Jun ini.

Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung dari pukul 3 petang hingga 6 petang itu akan disusuli dengan pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) pada sebelah malam di lokasi sama.

Perkembangan itu dilihat menguatkan lagi spekulasi yang PKR dan PH sedang memperkemaskan gerak kerja politik serta jentera parti menjelang beberapa kemungkinan perkembangan politik yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak parti berhubung berkenaan.

Bagaimanapun, sumber itu menyifatkan pertemuan di Sri Perdana  yang menghimpunkan kepimpinan parti bagi membincangkan isu semasa dan perancangan strategik PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast