KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan supaya UMNO bertanding antara 80 hingga 90 peratus di kerusi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan baki kerusi iaitu antara 10-20 peratus diberikan kepada Pas.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, formula itu mengambil semangat penyatuan dua parti teras Melayu-Islam itu seperti disarankan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut beliau, formula sama juga boleh dipraktikkan di Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas, dengan pertimbangan PRN Kelantan turut diadakan serentak dengan Johor, sekiranya perlu.
“Timbalan Presiden PAS menganjurkan initiatif MN 2.0. Satu syor strategik yg menarik.
“UMNO pula menganjurkan RUMAH BANGSA.
“Kedua duanya ada persamaan. Ia memerlukan muafakat dan penyatuan, terutama antara umno dan pas atau PN dan BN
“Pada saya, nama tidak penting. Jika ada persetujuan UMNO dan PAS, gunalah nama RUMAH BANGSA atau MUSYAWARAH NASIONAL@MN yang pernah di utara oleh UMNO.
“PRN Johor boleh jadi permulaan MN@MUSYAWARAH NASIONAL.
(Apa pun ini lontaran peribadi,tidak mewakili suara PAS atau UMNO)” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menurut Annuar, apa yang penting bagi beliau adalah orang Melayu dan Islam serta parti mereka perlu muafakat dan tidak berpecah.
Ujarnya, pemimpin mesti berani meneroka muafakat atas dasar persamaan matlamat dan ketepikan perbezaan serta masa lampau.
Menurut beliau, sekiranya UMNO menolak tawaran Tuan Ibrahim dan memilih untuk terus berkerjasama dengan DAP dan PKR saperti sekarang, maka Pas perlu mengambil tanggungjawab membentuk muafakat besar tanpa UMNO dalam menuju PRU-16.
“Barangkali di sini boleh di bentuk MUAFAKAT NASIONAL 2.0.
“Kita sama sama doakan penyatuan Melayu dan Islam benar benar terbina, dengan izin Allah swt..,” katanya.
















