KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan semua program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini perlu melalui proses penilaian yang ketat bagi memastikan ia memenuhi standard kualiti yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya yang beroperasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan sebuah agensi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan khusus bagi menjamin kualiti pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, fungsi utama MQA adalah memastikan setiap program atau kursus yang ditawarkan oleh universiti mencapai tahap minimum kualiti yang telah ditetapkan berdasarkan amalan terbaik dan penanda aras antarabangsa.
“Program-program yang telah mendapat akreditasi MQA terbukti diterima di seluruh dunia sama ada untuk tujuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi mahupun mendapatkan pekerjaan.
“Ini menunjukkan sistem pendidikan tinggi negara telah mencapai tahap kualiti yang diiktiraf di peringkat global dan mampu bersaing dengan negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang mempertikaikan tahap kualiti program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia.
Mohammad Shatar menjelaskan, MQA hanya memberikan akreditasi kepada program yang memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan, termasuk aspek reka bentuk kurikulum, kaedah penyampaian, pentaksiran, tenaga pengajar serta kemudahan pembelajaran.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, antara elemen penting dalam proses akreditasi ialah penglibatan industri dan majikan bagi memastikan program yang dibangunkan relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Beliau berkata, setiap program yang ingin mendapatkan akreditasi MQA perlu mendapatkan input serta pandangan daripada pihak industri dan majikan.
Katanya, dakwaan program-program yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia tidak mengambil kira kehendak majikan adalah tidak benar kerana perkara tersebut merupakan salah satu syarat wajib dalam proses akreditasi.
“Penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum membantu memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai kompetensi dan kemahiran yang diperlukan oleh sektor pekerjaan.
“Ibu bapa dan pelajar tidak perlu bimbang terhadap kualiti pendidikan tinggi negara kerana sistem jaminan kualiti yang dilaksanakan MQA sentiasa dipantau dan ditambah baik mengikut perkembangan semasa,” katanya lagi.
Mohammad Shatar berkata, pelajar yang mengikuti program yang diakreditasi MQA tidak perlu ragu-ragu kerana kelayakan yang diperoleh diiktiraf dan diterima di pelbagai negara.
Katanya, rekod menunjukkan graduan Malaysia tidak menghadapi masalah untuk menyambung pengajian atau membina kerjaya di peringkat antarabangsa kerana kualiti pendidikan tinggi negara telah terbukti dan diiktiraf di seluruh dunia.
“MQA akan terus memainkan peranan sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi negara bagi memastikan setiap program yang ditawarkan oleh IPT sentiasa memenuhi standard yang ditetapkan demi kepentingan pelajar, industri dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















