GEORGE TOWN – Kadar baharu tarif air Pulau Pinang akan berkuat kuasa 1 Julai ini selepas ditangguhkan selama 12 bulan, melibatkan kenaikan bagi pengguna domestik dan bukan domestik di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kadar baharu itu membabitkan kira-kira 82 peratus pengguna domestik yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang sebulan, dengan kenaikan 8.5 peratus atau maksimum RM2.55 sebulan, menjadikan bil meningkat daripada RM29.95 kepada RM32.50.
Beliau berkata, bagi pengguna bukan domestik termasuk kilang, hotel dan premis komersial, kadar baharu menyaksikan kenaikan sekitar 7.3 peratus, dengan pengguna yang menggunakan sehingga 500 meter padu sebulan akan membayar sehingga tambahan RM77.70, iaitu meningkat daripada RM1,064 kepada RM1,141.70.
“Kadar berkenaan telah digazetkan Kerajaan Persekutuan pada 30 Julai tahun lalu sebelum ditangguhkan oleh kerajaan negeri selama 12 bulan dan kini dilaksanakan semula.
“Pelarasan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan bekalan air, pembiayaan projek kritikal serta menangani peningkatan kos operasi PBAPP,” katanya hari ini.
Tambah Zairil, penggunaan air di negeri ini kini meningkat kepada 865 juta liter sehari pada tahun lalu dan dijangka meningkat 34.3 peratus kepada 1,162 juta liter sehari menjelang 2032.
“Penggunaan air domestik di Pulau Pinang juga mencatat 267 liter per kapita sehari, tertinggi di Malaysia berbanding purata nasional 225 liter,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, kos purata rawatan dan agihan air ialah RM2.43 bagi setiap meter padu, manakala pengguna domestik bagi blok pertama masih membayar sekitar 62 sen bagi setiap meter padu kerana subsidi.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 1 Ogos lalu melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif air selama setahun, daripada 1 Ogos 2025 kepada 1 Julai ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penangguhan itu membabitkan pelarasan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism-TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2).
Katanya, keputusan itu akan memberi manfaat kepada seramai 715,957 pengguna air di negeri ini. – MalaysiaGazette
















