Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar. - Foto: Insta Galeri Diraja Tuanku Ja’afar

MELAKA – Krisis institusi diraja Negeri Sembilan terus memuncak apabila Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar hari ini dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di sini.

Pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat menerusi satu upacara ringkas yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat.

Dalam pengisytiharan tersebut, Maarof berkata, pemilihan Tunku Nadzaruddin dibuat selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta.

“Pemasyhuran ini adalah bersesuaian dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026,” katanya.

Sejurus selepas pengisytiharan itu, Tunku Nadzaruddin menzahirkan penghargaan kepada Undang Yang Empat serta pembesar adat yang terlibat dalam pemilihannya.

“Beta menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” titah baginda.

Majlis berkenaan kemudian diteruskan dengan bacaan doa sebelum hadirin melaungkan “Daulat Tuanku”.

Pemasyhuran itu berlaku ketika pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian muktamad.

Kemelut berkenaan bermula pada April lalu apabila empat Undang mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menolak pengisytiharan tersebut dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan berkenaan tidak mempunyai kesan perundangan kerana membabitkan Mubarak Dohak yang kedudukannya sebagai Undang Luak Sungai Ujong dipertikaikan.

Susulan itu, beberapa tindakan mahkamah turut difailkan oleh pihak-pihak berkaitan bagi mencabar pelbagai keputusan yang dibuat sepanjang krisis berkenaan.

Perkembangan terbaharu hari ini dijangka menambah lagi ketegangan dalam pertikaian yang kini bukan sahaja melibatkan soal adat dan institusi diraja, malah turut mempunyai implikasi terhadap pentadbiran serta landskap politik Negeri Sembilan. – MalayasiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast