PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sekali gus bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, demikian menurut pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keputusan tersebut adalah keputusan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan melalui parti komponen di negeri tersebut.
“Tentunya kita sangat terbuka bukan untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduaan di Negeri Sembilan. Masih terlalu awal untuk adakan perundingan untuk tentukan Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan,” katanya kepada media bersempena sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Beliau berkata, pada ketika ini, fokus BN adalah untuk mengambil langkah terbaik berhadapan PRN itu nanti.
Ditanya mengenai pertemuan di antara Pas dan UMNO di Johor, Ahmad Zahid berkata, ia tidak melibatkan presiden kedua-dua parti.
“Ia sekadar berbincang mengenai soal kolaborasi yang harus dilakukan. Kita tidak mahu ketstabilan politik di negara kita tergugat. Tidak hanya Pas tetapi perbincangan juga kita adakan dengan rakan-rakan yang lain terutamanya parti komponen Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana politik negara ini sangat dinamik.
“Pintu kami sentiasa terbuka bukan hanya untuk mengadakan perbincangan politik tetapi perbincangan mengenai agenda nasional yang harus kita terjemahkan bersama,” katanya.
Ahmad Zahid juga menafikan wujud usaha untuk mengembalikan Muafakat Nasional 2.0.
“Tiada perbincangan mengenai perkara itu tetapi semua kemungkinan dengan jalan yang baharu ataupun menunjukkan satu kesefahaman. Namun ianya terlalu awal untuk kita muktamadkan.
“Apa yang penting BN bersama PH telah membentuk Kerajaan Perpaduan ini bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak dan perlu terus dikekalkan kerajaan yang ada hingga ke akhir penggal Parlimen ke-15,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















