SEREMBAN – Kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan pintu masuk Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin di sini hari ini ialah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam serta pematuhan kepada undang-undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan sebelum Ketua Polis Daerah Tampin mengatur penugasan anggota dan pegawai polis bagi melaksanakan kawalan keselamatan serta memantau keadaan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai dan kelancaran situasi di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Alzafny berkata pihaknya turut menerima satu salinan perintah mahkamah berkaitan perkara berkenaan dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta melaksanakan tanggungjawab selaras peruntukan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertenang, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata keadaan keselamatan di lokasi adalah terkawal dan pihak polis akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.- BERNAMA
















